KUCHING, 26 Mei: Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Kewangan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dijangka bermula Oktober tahun ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, program tersebut merupakan satu program rintis menggabungkan pembelajaran di dalam bilik kuliah dengan pengalaman kerja secara langsung di premis rakan industri.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Affin Group Bank Berhad untuk menubuhkan program tersebut.
“Pada masa ini, program tersebut sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Selepas mendapat kelulusan, UNIMAS akan melengkapkan proses akreditasi yang diperlukan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya.
Beliau berkata demikian menyampaikan ucapan pergulunggan bagi kementeriannya di Persidangan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Dalam ucapan sama, Roland menjelaskan, kementeriannya turut menganjurkan program Ngabas Anak Sarawak di Kampus Univerisit Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang yang julung kalinya melibatkan kira-kira 200 pelajar pada 14 April lalu.
“Program ini menjadi wadah bagi pendedahan kerjaya, jaringan jaringan perhubungan dan sokongan melalui forum, sesi perkongsian serta pameran oleh lapan agensi dan NGO berpangkalan di Sarawak,” ujarnya.
Ngabas Anak Sarawak menghimpunkan pelaja dari 10 institusi pengajian tinggi dan ia bertujuan merapatkan hubungan antara Kerajaan Sarawak dengan pelajar yang sedang menuntut di di Pulau Pinang, Perlis, Kedah, dan Perak. – TVS