KUANTAN, 26 Mei: Seorang pengurus ejen insurans kerugian RM695,000 akibat terpedaya skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan di laman Facebook, bulan lepas.
Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata mangsa wanita berusia 60 tahun itu pada mulanya telah diminta memuat naik satu aplikasi dan mendaftar menggunakan maklumat peribadi sebelum membuat pelaburan pertama RM5,000.
“Mangsa seterusnya menerima keuntungan awal RM900 dan mula menambah pelaburan dengan melakukan 22 transaksi berjumlah RM695,000 ke pelbagai akaun bank menggunakan wang simpanan peribadi dan pinjaman daripada rakan.
“Bagaimanapun, apabila mangsa cuba mengeluarkan semua modal dan keuntungan pada Jumaat lepas dia tidak dapat berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau berkata mangsa merasa curiga dan mengesyaki dirinya ditipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -TVS