KUCHING, 26 Mei: Kerja menaik taraf STOLport Bario yang kini sedang giat dilaksanakan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2026.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kelulusan bagi projek tersebut diberikan Kerajaan Persekutuan selepas beberapa sesi libat urus antara kementeriannya dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.
“Inisiatif ini merupakan maklum balas terhadap permintaan yang telah lama dikemukakan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan keselamatan, memandangkan landasan sedia ada tertakluk kepada sekatan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang mengehadkan kapasiti penumpang kepada hanya sembilan orang bagi setiap penerbangan disebabkan kekangan berat pesawat,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menurutnya, projek yang dikendalikan JKR Sarawak bermula pada September 2024 itu melibatkan kerja-kerja pemanjangan landasan sedia ada dari 671 meter kepada 930 meter termasuk sambungan berturap sejauh 259 meter dan kawasan bebas halangan (clearway) sepanjang 412 meter.
“Skop kerja turut merangkumi penyusunan semula permukaan landasan, pemanjangan jalur landasan (runway strip), pemasangan windsock baharu, penandaan garisan dan penyediaan Sistem Cuaca Automatik (AWS) yang baharu,” ujarnya.
Turut dilaksanakan ialah kerja sokongan seperti pembersihan tapak, kerja tanah, penambahbaikan geoteknikal, sistem saliran, pemasangan pagar, penanaman rumput serta pembaikan kecil terminal.
STOLport Bario yang dinaik taraf itu mampu menampung pesawat dengan kapasiti sehingga 19 penumpang sekali gus memperbaiki akses pengangkutan udara luar bandar khususnya komuniti di Bario.-TVS