KUCHING, 26 Mei: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak memberi jaminan bekalan gas petroleum cecair (LPG) di Sarawak mencukupi.
Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan pengisian LPG kepada 30,000 silinder sehari.
“Susulan daripada kejadian tanah runtuh di loji pengisian silinder LPG di Bintulu pada 29 Januari 2025, Kerajaan Sarawak melalui PETROSNiaga telah mengambil tindakan segera bagi meningkatkan jumlah silinder LPG di Independent Oil Terminal (IOT) Senari dan loji pengisian sementara silinder LPG Bintulu kepada 30,000 silinder sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya semasa Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Sarawak di sini pada Isnin.
Menurut Julaihi, bekalan silinder LPG di Sarawak kini telah pulih seperti sediakala.
Sebelum ini kejadian banjir yang melanda bahagian Bintulu telah mengakibatkan kejadian tanah runtuh di Loji Pembotolan LPG PUSAKA Integrated Resources, lalu menjejaskan operasi di loji itu.
Kejadian itu menjejaskan laluan operasi dan pengangkutan utama, menyebabkan kelewatan penghantaran ke beberapa kawasan di Sarawak.-TVS