KINABATANGAN,26 Mei: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dibaham buaya di Sungai Ladang Linddale di sini, ditemui meninggal dunia tengah hari tadi.
Mangsa, Jufri Untung, 30, ditemui pada jam 1.40 tengah hari, kira-kira 300 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Difahamkan, mangsa disedari rakannya dibaham reptilia berkenaan ketika menangkap ikan di kawasan berkenaan pada jam 6 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Utoh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.08 pagi.
Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Pasukan operasi tiba di lokasi yang terletak sejauh 50 kilometer dari BBP Kinabatangan, pada jam 7.22 pagi dan mengesahkan kejadian memang benar berlaku.
“Pasukan operasi terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa secara ‘Surface Searching’ di kawasan sekitar tepi sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – TVS