KUALA LUMPUR, 26 Mei: Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan kerjasama strategik baharu bagi meneroka eksport elektrik boleh diperbaharui dari Vietnam ke Malaysia dan Singapura sebagai permulaan kepada inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG).
Beliau yang Timbalan Perdana Menteri berkata, pertukaran perjanjian pembangunan bersama antara dua konsortium hari ini mencerminkan kerjasama serantau utama dalam tenaga bersih melibatkan ketiga-tiga negara.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, bekalan tenaga boleh diperbaharui itu akan disalurkan melalui rangkaian kabel dasar laut dengan sokongan teknikal dan kewangan oleh Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB).
“Aspek – aspek teknikal akan dibincangkan dengan lebih mendalam selepas ini.
“Keempat-empat konsortium yang terlibat akan berperanan sebagai pemimpin dalam inisiatif ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyaksikan pertukaran perjanjian pembangunan bersama antara kedua-dua konsortium tersebut di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong dan Pham Minh Chinh dari Vietnam turut hadir menyaksikan detik penting bagi ASEAN itu.
Melalui perjanjian itu, Malaysia, yang diwakili oleh MY Energy Consortium dan PETRONAS akan bekerjasama dengan konsortium yang terdiri daripada PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC) dan Sembcorp Utilities Pte Ltd, dari Singapura. – TVS