Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin. Foto IPD Kota Marudu

IPD Kota Marudu terima lapan laporan kes penipuan atas talian

ByTVS

KOTA MARUDU, 26 Mei: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu mengesahkan menerima lapan laporan polis melibatkan kes penipuan atas talian.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, laporan yang diterima berkaitan dengan penipuan penjualan kenderaan tidak wujud menerusi platform laman sosial Facebook.

Katanya, jumlah keseluruhan kerugian yang dilaporkan setakat ini mencecah RM159,000 melibatkan mangsa daripada pelbagai latar belakang termasuk penjawat awam.

“Hasil siasatan, modus operandi yang digunakan suspek adalah meletakkan iklan menjual kenderaan seperti Toyota Hilux, Ford Ranger dan Perodua Myvi pada harga yang terlalu murah bagi menarik perhatian mangsa.

“Mangsa kemudiannya dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp atau Facebook Messenger sebelum diarahkan membuat bayaran ke akaun bank atas alasan deposit tempahan, insurans, penghantaran serta cukai.

“Bagaimanapun, sebaik bayaran dibuat, suspek tidak lagi dapat dihubungi dan semua komunikasi terputus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua iklan yang sebelum ini dimuatnaik di laman sosial berkenaan turut dipadamkan sepenuhnya.

Sehubungan itu, Simiun menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa melakukan urusan atas talian.

“Jangan mudah percaya kepada tawaran harga yang terlalu murah dan orang awam juga disaran supaya membuat semakan latar belakang penjual sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

“Sebarang maklumat atau pertanyaan juga boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan jenayah Komersil IPD Kota Marudu di talian 088-661 066 atau hadir ke balai polis yang berhampiran,” ujarnya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan