Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kemeriahan Bazar Gawai Dayak 2025 yang melabuhkan tirai malam tadi, melambangkan perpaduan yang kekal erat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Foto FB Sarawak State-Level Gawai Dayak Celebration 2025

Gawai Dayak tanda perpaduan rakyat Sarawak berbilang kaum

KUCHING, 26 Mei: Sambutan Gawai Dayak bukan sekadar perayaan komuniti Dayak, sebaliknya turut mencerminkan keharmonian unik rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan agama.

Di serata negeri ini, Gawai Dayak diraikan dalam semangat perpaduan, melibatkan keluarga pelbagai latar belakang, termasuk masyarakat Islam yang turut memeriahkan perayaan dengan berkongsi juadah dan menghadiri majlis keluarga.

Norintan Asan, Nur Badiah Amit dan Hainolfizal Sarini. Foto TVS

Bagi Norintan Asan, 39, pengalaman menyambut Gawai bersama sanak saudara berbangsa Iban berupaya mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan mereka.

“Kakak ipar saya dari Engkilili berbangsa Iban dan kini telah memeluk Islam. Tapi suasana sambutan Gawai tidak pernah berubah, ia penuh kemesraan dan keakraban.

“Seperti Hari Raya Aidilfitri, kami berkumpul ramai-ramai pada malam Gawai,” katanya ketika ditemui pada Ahad.

Norintan menambah, sejak kakak iparnya memeluk Islam dan menukar nama kepada Nurul Ain Abdullah, keluarganya lebih menghargai nilai toleransi serta semangat kekitaan dalam menyambut apa jua perayaan.

Sementara itu, Nur Badiah Amit, 35, menyifatkan Gawai sebagai satu perayaan yang sangat unik dan hanya terdapat di Borneo.

“Perayaan ini penting kerana ia menjadi titik pertemuan masyarakat berbilang kaum. Gawai bukan sahaja melambangkan identiti komuniti Dayak, malah ia turut menyatukan semua rakyat Sarawak yang meraikannya bersama,” katanya.

Di sebalik kemeriahan perayaan, Bazar Gawai di MJC Batu Kawa juga menjadi bukti nyata keharmonian antara peniaga pelbagai kaum yang saling menghormati dan bekerjasama.

Bagi Hainolfizal Sarini, 37, yang menjual makanan halal di bazar berkenaan sejak tiga tahun lalu, beliau tidak pernah berasa janggal berniaga bersama peniaga bukan Islam.

“Penganjur sangat peka dengan isu sensitiviti agama. Kami ditempatkan berasingan antara penjual makanan halal dan bukan halal, namun hubungan tetap mesra.

“Pelanggan datang daripada pelbagai kaum dan sesama peniaga pun saling menyokong, beli juadah antara satu sama lain sebagai tanda hormat dan sokongan,” katanya.

Katanya lagi, suasana harmoni yang wujud itu menjadi cerminan sebenar masyarakat Sarawak yang sentiasa mengekalkan perpaduan walau berbeza latar agama dan budaya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan