PARIS, 26 Mei: Rafael Nadal disertai tiga seteru lamanya Roger Federer, Novak Djokovic dan Andy Murray ketika beliau kembali ke Terbuka Perancis bagi meraikan majlis penghargaan khas sempena kejayaannya.
“Fab four” bersatu semula apabila Nadal, juara 14 kali, menerima trofi khas “legenda” dan plak tapak kaki yang dipamerkan di Gelanggang Philippe-Chatrier, lokasi semua kejayaannya, lapor PA Media/dpa.
Nadal, yang bersara tahun lalu, tidak dapat menahan sebak semasa menyampaikan ucapan penuh emosi, namun tertawa apabila menyedari dia tercicir satu helaian teks ucapan, sebelum seorang pengutip bola bergegas menyerahkan helaian yang hilang itu.
Itu antara satu-satunya detik dia terlupa kata-katanya di Grand Slam Paris, gelanggang yang menyaksikan beliau memenangi 112 daripada 116 perlawanan sepanjang hampir dua dekad penguasaan.
Hampir setiap seorang daripada 15,000 penonton menerima baju-T berwarna tanah liat bertulis “Merci Rafa”, manakala yang lain memakai baju putih, membentuk mozek di tempat duduk yang membentuk perkataan “RG 14 X” dan “RAFA” diapit dua bentuk hati.
Pemain berusia 38 tahun yang digelar ‘Raja Tanah Liat’ itu melangkah masuk diiringi pengumuman ikonik Marc Maury yang menyenaraikan setiap tahun kejuaraannya.
Dengan mengenakan sut dan kemeja hitam, Nadal berdiri sendirian di tengah gelanggang yang menyimpan sejarah terbesarnya, sementara montaj video kejayaannya dimainkan di skrin besar.
Beliau kemudian berucap dalam bahasa Perancis, Inggeris dan Sepanyol: “Ini sukar. Saya bermain di gelanggang ini selama 20 tahun.
“Di sini saya gembira, saya menderita, saya menang dan kalah. Saya lalui pelbagai emosi — tanpa ragu ini gelanggang paling penting dalam kerjaya saya.
“Pada 2005 saya bermain buat kali pertama ketika berusia 18 tahun, pengalaman Grand Slam pertama saya. Sejak hari itu, saya benar-benar faham apa maknanya Roland Garros.
“Saya lalui segala-galanya sepanjang 20 tahun ini. Saya berdepan pencabar hebat seperti Andy, Novak, dan semestinya Roger dan semua mendorong saya ke batas fizikal dan mental.
“Roland Garros unik, satu bahagian penting dalam sejarah tenis. Terima kasih atas segalanya.”
Skrin besar kemudian memaparkan Federer, Djokovic dan Murray berkata: “Hai Rafa. Selepas bertahun-tahun ini dan segala persaingan, kami takkan biarkan kamu pergi begitu saja.
“Kami mahu tinggalkan satu pesanan dan beritahu anda bahawa rakan lama anda akan sentiasa bersama anda.”
Ketiga-tiga mereka kemudian muncul, dengan Djokovic dan Murray berdiri bersama walaupun hubungan pemain-jurulatih mereka baru sahaja berakhir secara mengejut.
Ketika juara bertahan semasa, Carlos Alcaraz dan Iga Swiatek menyaksikan dari tempat duduk, Nadal memeluk ketiga-tiga seteru lamanya – empat tokoh ini memiliki gabungan 69 kejuaraan utama Grand Slam.
“Anda semua beri saya saingan sengit di gelanggang, tetapi saya sangat seronok bersaing dengan anda semua,” kata Nadal.
“Kita boleh jadi kawan baik walaupun pernah bersaing sengit.” – TVS