KUCHING, 26 Mei: Dua unit kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) dijangka tiba di Kuching awal tahun depan, kata Dato Sri Lee Kim Shin.
Menteri Pengangkutan Sarawak itu mendedahkan bahawa penghantaran kenderaan itu dilakukan secara berperingkat dari China.
“Versi akhir ART itu akan tiba ke sini (Kuching) secara berperingkat, bermula dengan dua unit pertama awal tahun 2026,” katanya.
Kemudian jelasnya disusuli dengan dua hingga tiga unit ART bagi penghantaran seterusnya .
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini proses penghantaran ART ke Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Isnin.
Menurut Kim Shin, sebelum ini kerajaan Sarawak telah bersetuju menempah 38 unit ART dari syarikat pembekal.
Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), perkhidmatan ART ini kelak akan diperkasakan dengan perkhidmatan 55 bas yang dikuasakan dengan hidrogen yang mesra alam. -TVS