KUALA LUMPUR, 26 Mei: Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 secara rasmi termeterai hari ini yang menandakan komitmen baharu blok serantau ini untuk memperkukuh integrasi, menangani cabaran global dan membentuk masa depan yang lebih mampan dan berpaksikan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, deklarasi itu memperlihatkan ikrar terhadap tindakan kolektif dan tadbir urus bersama.
“Sering kali dikatakan bahawa cara terbaik untuk meramalkan masa depan adalah dengan menciptanya.
“Itulah yang telah ASEAN lakukan melalui usaha berterusan, tadbir urus bersama dan visi strategik yang dikongsi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Deklarasi ASEAN 2045 di sini, hari ini yang dihadiri oleh kesemua ketua – ketua negara terlibat.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, masa depan ASEAN perlu digerakkan melalui integrasi yang benar-benar berpusatkan rakyat dengan memberi tumpuan kepada keterangkuman, kemampanan dan pembangunan insan.
Jelasnya, ASEAN kini berdepan pelbagai cabaran ketidaktentuan persekitaran antarabangsa termasuklah gangguan ekonomi.
“Ketegangan geopolitik, gangguan ekonomi, iklim dan gangguan teknologi sedang menguji ikatan antara negara.
“Pada masa sama, kepesatan teknologi juga membawa risiko. Jika ia tidak diurus, mungkin akan menggantikan mata pencarian dan mengatasi peraturan kita,” katanya.
Sehubungan itu Anwar menyeru agar inovasi ditadbir bersama secara bertanggungjawab, dengan berpandukan prinsip keterangkuman dan kemampanan
Katanya, integrasi serantau tidak boleh hanya bersandarkan kepada dasar dan struktur ekonomi semata-mata, sebaliknya mesti meletakkan rakyat sebagai paksi utama.
Deklarasi Kuala Lumpur ASEAN 2045 turut memberi penekanan kepada keperluan memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi hijau dan biru, inovasi digital serta kelestarian alam sekitar, selaras dengan aspirasi ASEAN untuk menjadi rantau yang lebih inklusif, berdaya tahan dan progresif menjelang dua dekad akan datang. – TVS.