KUCHING, 26 Mei: Liputan telekomunikasi di Sarawak meningkat kepada 90.2 peratus pada suku pertama tahun ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julahi Narawi berkata, ia merekodkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding 84.8 peratus liputan pada suku ketiga tahun 2024.
Menurutnya, ini menunjukkan bahawa usaha sedang giat dijalankan bagi meningkatkan infrastruktur komunikasi di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
“Saya ingin memaklumkan kepada Dewan, capaian internet di Sarawak telah meningkat kepada 90.2 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 84.8 peratus tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya semasa Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Sarawak di Kuching, pada Isnin.
Sementara itu dalam ucapannya, beliau turut memaklumkan perkembangan terkini pembinaan menara Telekomunikasi Luar Bandar SMA (SMART) setakat ini.
“Sebanyak 585 menara SMART telah siap dibina, dengan 480 atau 82 peratus telah beroperasi sepenuhnya.
“Manakala baki menara akan beroperasi pada suku keempat tahun 2025,” katanya.
Untuk rekod, kerajaan Sarawak membina 618 menara SMART di seluruh negeri. – TVS