KUCHING, 26 Mei: Masyarakat Dayak di Sarawak diseru mengubah cara berfikir dengan menumpukan usaha ke arah menjana pendapatan dan mengelakkan pembaziran sumber demi membina ekonomi yang lebih lestari dan produktif.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata pendekatan itu penting selaras dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 yang menekankan pembangunan mampan dan kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, masyarakat Dayak harus menggunakan bakat dan kebolehan yang ada untuk meningkatkan pendapatan dan menimba ilmu dalam bidang yang berpotensi memberikan pulangan ekonomi.
“Ini adalah masa kita bukan sahaja untuk menunjukkan bakat tetapi juga memastikan apa yang kita hasilkan mampu ditukar kepada wang ringgit.
“Apa sahaja yang kita lakukan, ia harus memberikan pulangan,” katanya pada majlis penangguhan Bazar Gawai Dayak 2025 di MJC Batu Kawa, di sini, malam tadi.
Rundi turut menggesa masyarakat mengamalkan ekonomi sekular dengan setiap pengeluaran mempunyai sifar sisa bagi mengelakkan pembaziran sumber.
Beliau memberi contoh kejayaan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) yang telah mengubah sisa buangan kilang menjadi biojisim untuk baja, makanan haiwan dan sumber tenaga.
“Kaedah ini selari dengan komitmen Sarawak terhadap kelestarian alam sekitar sebagaimana yang termaktub dalam PCDS2030. Kita harus memastikan setiap usaha membawa nilai dan tidak membazirkan sumber yang ada,” katanya.