Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jeremy Paren dan Angelia David Langi ketika ditemui TVS di Bazar Gawai Batu Kawa, Kuching. Foto TVS

Bazar Gawai lubuk usahawan jana pendapatan

ByWilly Jali

KUCHING, 26 Mei: Sambutan meriah terhadap Bazar Gawai 2025 bukan sahaja mencerminkan kekayaan budaya masyarakat Dayak, malah menjadi platform penting kepada usahawan tempatan untuk menjana pendapatan serta mempromosikan hasil kreativiti masing-masing.

Usahawan kraf tangan khususnya tidak melepaskan peluang memanfaatkan bazar berkenaan untuk memperkenalkan produk mereka, sekali gus menarik perhatian pengunjung tempatan dan pelancong.

Bagi Jeremy Paren, 21, seorang pelajar yang menjual kraf tangan sebagai aktiviti sambilan, sambutan luar biasa tahun ini memberi dorongan besar terhadap pengembangan perniagaannya.

“Sambutan terhadap Bazar Gawai tahun ini sangat memberangsangkan, terutama pada hujung minggu. Ramai pengunjung datang melihat dan membeli barangan yang kami jual dan pamerkan.

“Bazar ini benar-benar membantu memperkenalkan produk kami kepada orang ramai, selain membuka peluang menjana pendapatan lebih tinggi dan mempromosikan budaya kepada masyarakat luar,” katanya ketika ditemui di Bazar Gawai Batu Kawa, di sini pada Ahad.

Sementara itu, usahawan dari Sri Aman, Angelia David Langi, 45, turut berkongsi pandangan serupa, menyifatkan bazar tersebut sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kreatif dan pelancongan budaya.

“Kraftangan adalah antara penyumbang utama dalam industri pelancongan. Ketukangan seramik, misalnya, memerlukan kemahiran tangan dan kreativiti yang tinggi.

“Ramai pengunjung, termasuk dari agensi luar, datang melihat hasil kerja kami. Namun, kami juga berdepan cabaran seperti memenuhi permintaan dan tempahan yang tinggi,” katanya.

Keunikan dan kehalusan hasil tangan Angelia bukan sahaja mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat, malah turut menembusi pasaran luar negeri melalui platform dalam talian.

“Setakat ini, saya turut menerima tempahan secara dalam talian, termasuk dari luar Sarawak. Malah, saya baru sahaja menerima pesanan dari Sabah untuk program ini. Sambutannya sangat menggalakkan,” ujarnya.

Jelasnya, Bazar Gawai bukan sekadar ruang niaga, malah menjadi medan memperkukuh ekonomi komuniti dan memelihara warisan budaya.

Dengan sokongan berterusan pelbagai pihak, program sebegini wajar diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai usahawan mendapat manfaat, manakala budaya tempatan terus dihargai dan dipelihara.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan