KUALA LUMPUR, 26 Mei: ASEAN memerlukan sekurang-kurangnya 24.4 gigawatt (GW) kapasiti sambungan tenaga antara negara menjelang 2040, melibatkan pelaburan melebihi USD 770 bilion.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, walaupun angka itu dilihat besar namun ia mampu memperkukuh sistem tenaga, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan merangsang industri hijau.
Jelas beliau, salah satu aspek paling kritikal yang memerlukan perhatian bersama ialah penyelarasan atribut hijau, khususnya Sijil Tenaga Boleh Baharu (RECs).
“Dengan perdagangan rentas sempadan semakin berkembang, kita mesti memastikan pengiktirafan bersama terhadap RECs bagi mengelakkan pengiraan berganda serta memberi keyakinan kepada pelabur dan pembeli korporat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Mesyuarat Peralihan Tenaga di ASEAN di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fadillah berkata Malaysia terus mempergiat pertukaran tenaga dua hala dengan negara jiran termasuk Indonesia, Singapura dan Thailand, dalam usaha membangunkan sistem tenaga serantau yang lebih pintar dan bersepadu.
Jelasnya, Malaysia berjaya mencapai rekod penting dengan memulakan perdagangan rentas sempadan elektrik hijau pertama dengan Singapura menerusi platform Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada Disember tahun lalu.
“Dalam tempoh hanya 148 hari, lebih 107 terawatt jam (TWh) elektrik hijau yang dijana daripada sumber solar dan hidro telah berjaya disalurkan ke Singapura melalui Tambak Johor.
“Inisiatif seperti ini membuktikan bahawa sistem tenaga ASEAN yang pintar, fleksibel dan bersepadu bukan lagi satu kemungkinan tapi ia kini sedang terbentuk,” katanya. – TVS.