KUALA LUMPUR, 26 Mei: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ASEAN meletakkan harapan besar kepada golongan belia sebagai pemacu kepada pembentukan ikatan serantau yang kukuh dan bersatu padu.
Menurut Perdana Menteri, Pelan Tindakan ASEAN berkaitan belia mampu menyediakan kerangka kerja bagi menangani banyak isu dan kebimbangan masa kini.
“Namun yang lebih penting, bagi saya sangat kritikal ialah harapan besar yang kami (ASEAN) sandarkan kepada anda (belia) bukan sekadar untuk mewakili negara masing-masing, tetapi untuk membentuk ikatan ASEAN yang kukuh dan bersatu padu,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Mersyuarat Bersama Wakil Belia ASEAN di sini, hari ini.
Beliau yang mewakili para pemimpin ASEAN dan Timor-Leste seterusnya turut mengalu-alukan penyertaan delegasi belia dengan menyifatkan mereka sebagai masa depan ASEAN.
“Sesungguhnya, inilah masa depan ASEAN dan sudah tentu kami amat berbesar hati dengan kehadiran golongan belia yang dapat menyuarakan pandangan.
“Ia satu kesempatan yang jarang berlaku di mana semua pemimpin ASEAN perlu mendengar,” katanya.
Selain itu, Anwar turut menyampaikan ucapan tahniah atas usaha para delegasi belia, yang menurutnya tampil dengan persiapan rapi dan telah berjaya membincangkan pelbagai isu penting serantau.
Jelasnya, antara topik yang dibincangkan termasuklah kestabilan politik, perpaduan, kelestarian, perubahan iklim, dan keberkesanan belia dalam menyuarakan pandan
“Saya telah melihat kenyataan-kenyataan yang disediakan, dan saya berasa amat gembira mengetahui bahawa anda lebih bersedia dan telah berjaya membincangkan pelbagai isu yang sangat penting,” katanya.
Tambah Anwar, kejayaan ASEAN tahun ini adalah hasil komitmen bersama para pemimpin rantau yang menunjukkan semangat kerjasama erat dan komunikasi berkesan. – TVS