KUALA LUMPUR, 26 Mei: ASEAN di bawah kepengerusian Malaysia berjaya mencapai beberapa langkah positif bagi menyelesaikan konflik di Myanmar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata langkah positif itu dilakar menerusi penubuhan Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi untuk Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.
Kumpulan yang diketuai bekas Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra itu kata Anwar telah ‘bergerak’ dalam usaha untuk menyelesaikan konflik berpanjangan itu.
“Pertemuan turut diadakan di Brunei yang diserikan dengan kehadiran Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
“Saya ingin menegaskan pendekatan secara senyap yang dimainkan oleh ASEAN dalam isu Myanmar merupakan strategi yang berkesan.
“Keterlibatan secara senyap ini adalah penting. Meskipun langkah ini adalah kecil dan jambatan itu mungkin rapuh, tetapi seperti yang sering katakan, dalam soal keamanan, jambatan yang rapuh pun lebih baik daripada jurang yang semakin melebar,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, di sini hari ini.
Selain Sultan Hassanal Bolkiah, sidang turut dihadiri Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone.
Selain itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, Perdana Menteri Kemboja, Samdech Hun Sen, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. dan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh turut hadir.
Perdana Menteri turut menyampaikan penghargaan kepada kesemua pemimpin yang telah bersetuju dan memberikan kelulusan dalam penubuhan kumpulan tidak rasmi itu.
Pada 17 April lalu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing di Bangkok, yang turut dihadiri Thaksin.
Anwar turut mengadakan mesyuarat secara maya dengan pemimpin Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar, Mahn Win Khaing Than, sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN ke arah
menyelesaikan konflik di negara itu.
Sejak rampasan kuasa oleh junta tentera pada 1 Februari 2021, Myanmar dibelenggu pergolakan politik yang meruncing, mencetuskan tindakan keganasan yang mengorbankan ribuan nyawa setakat ini.- TVS.