KUCHING, 26 Mei: Kerajaan Sarawak menerima sebanyak 923 permohonan bagi cadangan jawatan baharu Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari seluruh wilayah ini.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai berkata, permohonan tersebut merangkumi kawasan seperti Tanjong Batu, Pelagus, Bukit Semuja, Meradong, Batu Kitang, Tellian dan Ngemah.
“Kerajaan Sarawak setakat ini menerima sebanyak 923 permohonan cadangan jawatan baharu Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum dari semua bahagian di seluruh Sarawak.
“Kesemua permohonan ini telah diteliti dengan mengambil kira garis panduan umum merangkumi keluasan kawasan, jumlah penduduk dan pertambahan bilangan rumah di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Menurutnya, semua cadangan jawatan baharu itu akan dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pada suku ketiga tahun 2025 bagi pertimbangan dan kelulusan.
Tambahnya, kriteria utama yang diguna pakai dalam mempertimbangkan kewujudan jawatan ketua kaum ialah kawasan tersebut mestilah mempunyai sekurang-kurangnya 20 rumah atau pintu terutama bagi rumah panjang dan kampung tradisional.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Sarawak untuk mempertingkatkan lagi keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” ujarnya. -TVS