KUCHING, 26 Mei: Tangisan kegembiraan dan pelukan penuh emosi mengiringi pembebasan 19 banduan lelaki dari Penjara Puncak Borneo, hari ini, di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan MADANI: “Kepulangan yang Dinanti” sempena sambutan Gawai Dayak dan Aidiladha 2025.
Pembebasan itu bukan sekadar pelepasan biasa, malah menjadi simbol kepada nilai kemanusiaan, pengampunan dan harapan baharu, kata Pengarah Penjara Negeri Sarawak, Timbalan Komisioner Teyun Thian Eim.
“Tujuan sebenar pelepasan ini bukan kerana suka-suka untuk melepaskan prospek, tetapi ini adalah program untuk kita memulihkan prospek yang dirasakan layak untuk dilepaskan lebih awal.
“Pelepasan ini bersyarat, bukannya dilepaskan tanpa pengawasan. Pemulihan dalam komuniti itu lebih berkesan,” katanya ketika berucap dalam program berkenaan di Penjara Puncak Borneo, di sini, hari ini.
Majlis itu turut disempurnakan oleh Teyun bersama Pengarah Penjara Puncak Borneo, Penolong Komisioner Penjara Shahrin Nizam Ahmad, disaksikan pegawai kanan penjara.
Daripada jumlah itu, sembilan banduan diserahkan kepada keluarga, enam kepada majikan dan empat lagi ditempatkan di Rumah Perantaraan Kuching sebagai persediaan terakhir sebelum kembali sepenuhnya ke masyarakat.
Banduan yang diserahkan kepada majikan akan meneruskan kehidupan dalam sektor perkhidmatan, perikanan dan perladangan, iaitu bidang yang dilihat mampu membina semula jati diri mereka secara holistik.
Program pelepasan ini turut dilaksanakan serentak di lima institusi penjara lain di Sarawak. Antara jumlah yang dibebaskan, Penjara Pusat Sri Aman seramai 12 banduan, Penjara Pusat Sibu (11), Pusat Koreksional Bintulu (9), Penjara Pusat Miri (12), Penjara Limbang (4).
Keseluruhannya, seramai 67 banduan dibebaskan di seluruh Sarawak hari ini.
Sejak diperkenalkan pada 2020, PBSL telah memberi peluang kedua kepada 3,022 banduan, terdiri daripada 2,886 lelaki dan 136 wanita.
Program itu menunjukkan peningkatan ketara dari semasa ke semasa, bermula dengan hanya 11 pelepasan pada 2020, meningkat kepada 136 orang (2021), 461 orang (2022), dan melonjak kepada 895 orang (2023). Tahun lalu menyaksikan jumlah tertinggi iaitu 1,097 pelepasan.
Bagi tempoh Januari hingga April 2025, seramai 422 banduan telah dibebaskan melalui inisiatif itu.
PBSL Ihsan MADANI mencerminkan komitmen Jabatan Penjara Malaysia dalam melaksanakan sistem pemulihan yang tidak hanya bersifat hukuman, tetapi mendidik, membimbing dan menginsafkan.