KOTA MARUDU, 26 Mei: Tiga warga Filipina dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM220,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Kota Marudu, hari ini, selepas didapati bersalah memiliki 865 kilogram hasil penyu hijau (daging penyu kering) secara haram.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim A. Akhiruddin Acho terhadap ketiga-tiga tertuduh iaitu Erwin Monares Comendo, 39, Rudyzon Darol Infante, 37, dan Arnel Meniano Getes, 52.
Jika gagal membayar denda, mereka berdepan hukuman penjara tambahan selama lapan bulan.
Ketiga-tiga mereka disabitkan di bawah Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Menurut kenyataan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), ketiga-tiga lelaki itu ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 27 September tahun lalu di perairan Simpang Mengayau, Kudat, sebelum disiasat dan didakwa oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Hasil sitaan terdiri daripada 865 kilogram hasil penyu hijau yang disimpan dalam 39 karung dan 14 kotak.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar, berkata kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan agensi terbabit dalam melindungi spesies marin terancam.
“Kes ini menjadi amaran jelas kepada semua pihak bahawa sebarang aktiviti pemilikan atau perdagangan penyu, termasuk telur dan bahagiannya, adalah satu kesalahan serius,” katanya.
KePKAS turut menghargai tindakan pantas Maritim Malaysia Kudat yang berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan hasil hidupan liar dilindungi itu di perairan negeri.
Penyu hijau atau nama saintifiknya Chelonia mydas adalah spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah, dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda hingga RM250,000 atau penjara lima tahun.