KUCHING, 26 Mei: Sebanyak 14 lesen aktiviti huluan dan 537 lesen aktiviti hiliran telah dikeluarkan oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak sejak pindaan ke atas Distribution of Gas Ordinance (DGO) 2016 yang mula berkuat kuasa pada tahun 2023.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, dalam ucapan penggulungannya di semasa Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Sarawak di sini pada Isnin.
Menurut beliau, langkah kawal selia itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan selepas pindaan ordinan berkenaan bagi memastikan semua aktiviti berkaitan gas di negeri ini dikendalikan secara sah dan terkawal.
“Kementerian saya telah mengeluarkan 14 lesen bagi aktiviti 7(g) kepada pemain industri huluan dan 537 lesen kepada pemain industri hiliran sejak tahun lalu,” kantanya.
Selain itu, kementerian juga telah mengeluarkan 10 notis ketidakpatuhan kepada lima syarikat yang didapati menjalankan aktiviti tanpa lesen di bawah Seksyen 7 DGO 2016.
Beliau turut mengingatkan bahawa semua pihak yang terlibat dalam pembekalan dan pengagihan gas wajib memohon lesen kepasdèdi bawah ordinan tersebut.
Julaihi menegaskan bahawa kegagalan berbuat demikian adalah satu kesalahan jenayah (Seksyen 20) atau tuntutan sivil (Seksyen 21A) yang boleh dikenakan denda, hukuman penjara, atau kedua-duanya sekali.
Pindaan kepada ordinan ini turut memperkukuh peranan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai agregator gas, seperti yang dipersetujui dalam Deklarasi Bersama antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
“Saya yakin dengan Deklarasi Bersama ini akan memberi manfaat kepada Sarawak dan kepentingan negara dalam memperkukuh keyakinan para pelabur khususnya syarikat- syarikat antarabangsa di dalam sektor pengedaran gas,” katanya. – TVS