Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun. Foto fail Bernama

Wei Chong-Kai Wun kejutkan Aaron-Wooi Yik untuk muncul juara Masters Malaysia

ByBernama

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun akhirnya menebus kekecewaan sebagai naib juara edisi 2023 apabila muncul juara Masters Malaysia 2025 selepas mengejutkan rakan senegara yang juga juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Wei Chong-Kai Wun yang menduduki ranking kelapan dunia mempamerkan aksi bertenaga dan konsisten untuk mencatat kemenangan 21-12, 15-21, 21-16 dalam pertembungan sengit yang berlangsung selama 50 minit.

Kejayaan itu menafikan impian Aaron-Wooi Yik untuk merekodkan gelaran kedua berturut-turut selepas menjuarai Terbuka Thailand minggu lalu.

Pilihan kelima kejohanan itu tampil bertenaga seawal set pertama apabila mendahului 6-1 sebelum memanfaatkan siri kesilapan lawan, terutama di jaring, untuk menamatkan set berkenaan 21-12.

Namun, pasangan pilihan keempat, Aaron-Wooi Yik bangkit pada set kedua dengan permainan lebih kemas dan agresif untuk mengheret aksi ke set penentuan selepas menang 21-15.

Aksi set ketiga berlangsung sengit dengan kedua-dua beregu terikat 8-8 sebelum Wei Chong-Kai Wun memperkemas permainan dan mempertahankan kelebihan untuk menang 21-16 dalam perlawanan berdurasi 50 minit.

Kemenangan itu menjadikan mereka beregu Malaysia pertama menjuarai kategori lelaki di Malaysia Masters selepas kali terakhir dicapai Goh V Shem-Lim Khim Wah pada 2013.

Lebih manis, ini adalah kemenangan ketiga mereka dalam lima pertemuan menentang Aaron-Wooi Yik serta gelaran kedua musim ini selepas memenangi Masters  Indonesia, Januari lalu.

Pada edisi 2023, Wei Chong-Kai Wun sekadar muncul naib juara selepas tewas tipis kepada pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 15-21, 24-22, 19-21.

Sebagai juara, mereka membawa pulang hadiah wang tunai USD37,525 (RM159,000), manakala Aaron-Wooi Yik menerima USD18,050 (RM76,000) selaku naib juara. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan