KUALA LUMPUR, 25 Mei: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau percaya bahawa peluang dan tanggungjawab harus diberikan kepada individu berasaskan merit, dan bukan dipengaruhi oleh faktor jantina.
Premier Sarawak itu berkata meskipun penerimaan komuniti dalam kepimpinan wanita ketika ini masih skeptikal, fahaman bias itu harus ditangani bagi membina masyarakat yang terangkum dan kompetitif.
“Untuk budaya di Asia, mungkin akan mengambil sedikit masa tetapi di India, mereka menerima (kepimpinan) Indira Gandhi dan Pakistan menerima Benazir Bhutto. Kenapa tidak di negara Asia yang lain?” soal beliau.
Abang Johari berkata demikian pada sesi perkongsian bertajuk Menerajui Kemampanan dan Digitalisasi ASEAN pada Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) di sini, hari ini.
Sesi berkenaan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, beliau mengakui terdapat beberapa cabaran yang dihadapi dalam kepimpinan wanita namun setiap halangan itu ada jalan penyelesaian.
“(Ini termasuk dengan adanya) perkembangan teknologi pintar bagi mengatasi kekangan tersebut.
“Mungkin pada masa depan, robot boleh membantu anda dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan wanita untuk melaksanakan tugasan mereka,” katanya.
Tambah Abang Johari, beliau juga melihat Sarawak berkemungkinan akan mempraktikkan inisiatif serupa bagi membantu golongan wanita tempatan menerusi pembangunan teknologi yang ingin dicapai pada masa akan datang. -TVS.