KUALA LUMPUR, 25 Mei: Sarawak bersedia untuk membekalkan sebanyak 100 megawatt (MW) tenaga elektrik ke Sabah menjelang hujung tahun ini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata sambungan talian grid dari Sarawak ke Sabah akan dilaksanakan menerusi Sipitang.
Jelas beliau, usaha itu selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta beliau untuk mengkaji peranan yang dapat dimainkan oleh Sarawak bagi menjayakan Grid Tenaga ASEAN.
“Tenaga yang kita ada bukan sahaja untuk Sarawak tetapi untuk kita berkongsi dan Perdana Menteri telah meminta saya mengkaji kemungkinan menyambung kuasa ke Sabah dan seterusnya ke Selatan Filipina sebagai Grid Tenaga ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perkongsian bertajuk Menerajui Kemampanan dan Digitalisasi ASEAN pada Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) di sini, hari ini.
Abang Johari menambah, Sarawak juga kini sedang dalam proses untuk membekalkan tenaga elektrik ke Brunei, malah telah membekalkan tenaga ke Kalimantan Barat, Indonesia sejak enam tahun lalu.
“Sarawak akan memainkan peranannya untuk menyumbang kepada Grid Tenaga ASEAN itu,” katanya. – TVS.