KUCHING, 25 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah seorang pemimpin yang bekerja keras mencari dana dari pelaburan asing dalam usaha meningkatkan kekayaan negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, usaha itu kini berbaloi apabila Sarawak kini berjaya meningkatkan dana kekayaan negeri kepada RM14.2 bilion tahun ini.
Jelas beliau lagi, sebahagian dari dana itu disalurkan semula kepada rakyat Sarawak menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan yang diperkenalkan.
“Contoh inisiatif adalah skim Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS). Ada di kalangan penerima skim ini mendapat bantuan hingga RM700 untuk membeli barangan asas. Ini adalah dana dari kerajaan dan tahun hadapan, Insya-Allah kerajaan kita akan memberikan pendidikan percuma kepada anak Sarawak yang masuk Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) milik Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Saberkas Prihatin anjuran Biro Hal Ehwal Wanita Saberkas bersempena Sambutan Hari Gawai 2025 yang berlangsung di Muzium Budaya Borneo pada Ahad.
Lebih 100 ahli wanita Saberkas Cawangan Kuching hadir menerima bantuan berupa barangan asas dan wang tunai.Sumbangan itu adalah salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam meringankan beban golongan wanita yang menganggotai Saberkas ketika musim perayaan.
Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Sarawak telah membuat cadangan dan mengemukakan satu formula pengiraan khas kepada Kerajaan Persekutuan mengenai jumlah yang harus diterima kerajaan negeri melalui peruntukan geran khas di bawah Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, walaupun ketika ini Kerajaan Persekutuan belum menyatakan persetujuan formula peruntukan geran khas yang diberikan Sarawak, beliau mewakili kerajaan negeri menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas pemberian geran interim sementara menunggu kelulusan berjumlah RM600 juta setahun selama lima tahun.
“Ini adalah merupakan satu geran yang dibuat sementara menunggu kelulusan formula yang kita ajukan kepada Kerajaan Persekutuan, macam mana mereka hendak mengira berapa banyak yang hendak diberikan kepada Kerajaan Sarawak. Kita ada formula kita. Ini telah kita majukan dan kita tunggulah,” ujarnya.-TVS.