LAWAS, 25 Mei: Nilai persahabatan, sosial dan perniagaan yang penuh harmoni di Sarawak perlu dipertahankan meskipun berdepan dengan cabaran dalam dunia era baru yang digerakkan oleh kemajuan digital.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kesenian dan budaya setiap kaum juga perlu dipelihara serta dihormati dalam memastikan perpaduan di kalangan rakyat yang berbagai latar belakang dapat dijadikan kekuatan untuk mengerakkan pembangunan di Sarawak.
“Keharmonian antara kaum ini perlu dipertahankan dan inilah merupakan asas kepada stabiliti inilah asas kepada keamanan yang didokong oleh kehidupan yang penuh toleransi, hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya ketika merasmikan Majlis Line & Folk Dance Exchange Lawas di Arena Lawas malam tadi.
Awang Tengah mahu kestabilan sosial dan politik Sarawak dijadikan tanggungjawab semua masyarakat majmuk di negeri ini dalam menjadikannya terus makmur dan menjadi destinasi perniagaan yang disenangi masyarakat dunia.
Majlis Line & Folk Dance Exchange Lawas disertai oleh pertubuhan kebudayaan Cina dari Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak dan negara Brunei Darussalam.-TVS.