BETONG, 25 Mei: Penganjuran Majlis Pengerami Malam Mantar Gawai Dayak dilihat terus menjadi landasan terbaik bagi mengetengahkan warisan budaya dan adat resam kaum Iban kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, majlis seumpamanya bukan sekadar meraikan Hari Gawai Dayak tetapi telah memartabatkan identiti Dayak khasnya masyarakat Iban.
“Inilah simbol untuk kita kaum Iban mengetengahkan warisan budaya dan adat resam kita kaum Iban. Dalam masa yang sama sebagai platform untuk menjelaskan tujuan sebenar Hari Gawai sejak dahulu yang disambut pada setiap bulan Jun untuk meraikan kejayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Pengerami Malam Mantar Gawai Dayak Tikas Menua Betong 2025 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan Betong pada Sabtu.
Jelasnya, masyarakat atau penduduk di Betong amat bertuah dengan penubuhan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang ternyata telah banyak membantu dalam mempercepatkan pembangunan di kawasan tersebut.
Selain, Pekit Kumang Gawai Betong 2025, acara kemuncak pada malam itu adalah simbolik Ngirup Ai Pengayu – minum air pengayu sebagai doa kesejahteraan diketuai oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu.
Jawatankuasa Induk Perayaan Gawai Bahagian Betong 2026, juga turut bertukar daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong kepada Jabatan Pertanian (Pertanian) Bahagian Betong. -TVS