LAWAS, 25 Mei: Kerajaan Sarawak melalui inisiatifnya terus memastikan perkhidmatan yang diberi kepada rakyat sentiasa diperbaiki dengan membina beberapa bangunan yang menempatkan berbagai agensi dan jabatan kerajaan negeri di bawah satu bumbung termasuk di Lawas.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Pejabat Pentadbiran Lawas kini telah hampir siap dan bakal digunakan pada Ogos tahun ini.
“Bangunan ini dapat menempatkan 16 jabatan dan agensi kerajaan yang dilengkapi dengan prasarana yang cukup baik ada kemudahan lifnya dan dewan pun agak besar berkapasiti memuatkan sekurangnya ratusan meja. Saya harap bangunan ini akan dapat disiapkan mengikut sasaran yang telahpun ditetapkan.
“Ini di bawah satu bumbung yang sama dan kita jangkakan penyampaian perkhidmatan itu akan lebih meningkat dan saya juga mengingatkan supaya kemudahan-kemudahan kita lebih ke depan menggunakan teknologi misalnya untuk kita mesyuarat secara atas talian, untuk kita berhubung dengan jabatan-jabatan di peringkat negeri pun juga mudah itu harus diambil kira,” katanya.
Awang Tengah berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke bangunan Pejabat Pentadbiran Lawas hari ini.
Turut sama ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi.
Pada masa yang sama beliau berharap bangunan pejabat berpusat di bawah satu bumbung ini akan mengurangkan karenah birokrasi di samping mempermudahkan perhubungan antara agensi dan jabatan kerajaan Sarawak.-TVS.