KUALA LUMPUR, 25 Mei: Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN dijadualkan berlangsung sepanjang hari ini di sini, menetapkan hala tuju awal bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada 26 dan 27 Mei.
Siri mesyuarat itu akan menghimpunkan kalangan menteri untuk membincangkan keutamaan strategik, keselamatan serantau, integrasi ekonomi dan hubungan luar ASEAN.
Program hari ini bermula dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang akan dipengerusikan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan menumpukan agenda antaranya melibatkan isu utama seperti keselamatan maritim, Myanmar dan penglibatan global ASEAN.
Timor-Leste dijadualkan mengambil bahagian sebagai pemerhati memandangkan negara itu sedang mendapatkan keanggotaan penuh ASEAN.
Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-29 juga dijadualkan berlangsung dan para menteri akan menilai kerjasama mengenai hak asasi manusia, keselamatan siber, tadbir urus maritim dan mengatasi ancaman transnasional.
Mesyuarat penting lain yang akan diadakan hari ini meliputi Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-36 yang akan menekankan penyelarasan institusi, persiapan akhir untuk deklarasi sidang kemuncak dan kemajuan berkaitan Visi Komuniti ASEAN pasca-2025.
Sementara itu, Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-25 pula akan menumpukan usaha untuk merancakkan lagi transformasi digital, pemudahan perdagangan dan peralihan ekonomi hijau bagi memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai kuasa ekonomi global di samping merapatkan jurang dalaman dan mengatasi gangguan masa depan.
Dari segi kerjasama utama antara rantau, Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) akan berlangsung serentak, bertujuan memperluas kerjasama dalam sektor seperti jaminan tenaga, logistik, kewangan Islam dan rantaian bekalan makanan.
Mesyuarat itu mencerminkan keseluruhan usaha ASEAN untuk mempelbagaikan perkongsian dan memperkasakan daya tahan dalam ekonomi global yang semakin multipolar.
Dalam menumpukan kepada hala tuju strategik ASEAN, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggariskan visi berani untuk pertumbuhan serantau, mengetengahkan integrasi ekonomi yang lebih kukuh, pengembangan perdagangan, dan ketersambungan tenaga rentas sempadan sebagai tonggak utama Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia tahun ini.
Dalam keadaan persaingan geopolitik global yang semakin sengit, Anwar berkata Malaysia bertekad untuk memacu ASEAN melangkaui peranan tradisinya sebagai platform neutral ke arah menjadi suara yang lebih kohesif dan dipacu nilai di Indo-Pasifik.
“Sebagai sebahagian daripada teras kita tahun ini, kita memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keeratan ikatan ASEAN, meningkatkan kepentingan ekonomi dan perdagangan, serta melonjakkan pelaburan dalam kalangan negara anggota,” kata beliau.
Anwar berkata demikian semasa sesi taklimat antaranya berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 21 Mei lepas.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 dan 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Acara itu disusuli dua sidang kemuncak utama, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, sebagai platform penting memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.
Sepanjang menjadi anggota dalam blok 10 negara ini, Malaysia telah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
GCC merangkumi enam negara meliputi Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.- TVS