Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Ketua Unit Komunikasi Korporat KUSKOP Nor Azean Hasan (Tengah) di reruai KUSKOP pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Johor hari ini. Foto KUSKOP

KUSKOP anjur pelbagai program pembangunan usahawan belia sempena PMR Johor

ByBernama

JOHOR BAHRU, 25 Mei: Pembangunan usahawan belia merupakan antara usaha yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi pelaksanaan pelbagai program khusus pada tahun ini.

Timbalan Ketua Unit Komunikasi Korporat KUSKOP Nor Azean Hasan berkata sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Johor anjuran Kementerian Belia Sukan selaku kementerian peneraju, pihaknya menumpukan kepada membantu kegiatan usahawan belia di reruai mereka kali ini.

Beliau berkata antara program menarik khas untuk belia ialah menerusi Sekretariat Professional Training dan Education For Growing Entrepreneurs (PROTEGE) yang menawarkan program New Gen Entrepreneur Online Bootcam (N-GENE).

“Pendaftaran untuk program ini dibuka sejak tiga hari lepas (21 Mei) untuk tahun ini. Program ini termasuk melibatkan pembangunan kapasiti iaitu latihan dan bimbingan keusahawanan serta program pembiayaan.

“Kita harap ramai belia akan mengambil kesempatan ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di reruai KUSKOP hari ini.

Nor Azean berkata program berkenaan adalah untuk meningkatkan skala perniagaan graduan secara dalam talian, dengan peserta yang layak berpeluang untuk menerima geran sebanyak RM3,000.

Selain itu, beliau berkata menerusi agensi KUSKOP seperti Perbadanan Nasional Bhd (Pernas) yang menyediakan Program Young Entrepreneurship Engagement Talents (Younity), terbuka kepada usahawan belia pemula yang ingin mengembangkan perniagaan menerusi skim pembiayaan Francaisor, Francaisi dan lain-lain.

Beliau turut memaklumkan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), skim pembiayaan TEKUN dan Program Bank Rakyat Unipreneur turut disediakan bagi menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan.

Menurutnya, bagi program TUBE ia menyasarkan golongan belia Bumiputera berumur 18 hingga 30 tahun yang mempunyai minat untuk menceburi bidang keusahawanan khususnya mempunyai sijil kemahiran asas daripada institusi latihan atau pusat kemahiran tempatan.

“Peserta yang berjaya akan menerima geran sebanyak RM 15,000,” katanya.

Selain itu, Nor Azean berkata untuk PMR Johor ini, pihaknya turut membawa program UDA 4Youth yang merupakan inisiatif UDA Holdings Berhad (UDA) dalam mengalakkan generasi belia Bumiputera menceburi bidang perniagaan dan membentuk daya tahan serta jati diri dalam mengendalikan perniagaan sendiri.

PMR 2025 Johor yang bertemakan “Belia MADANI, Yakin Boleh!” menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti reruai pameran, sesi interaktif bersama agensi kerajaan, pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), karnival kerjaya serta jualan MADANI.

Johor menjadi lokasi kedua selepas Sabah (9-11 Mei) bagi pelaksanaan siri jelajah PMR tahun ini, yang seterusnya akan diteruskan di Lumut, Perak; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Lama, Kelantan; Nilai, Negeri Sembilan; Baling, Kedah; Jasin, Melaka; dan Bintulu, Sarawak.

PMR kini menjadi pentas strategik menyatukan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Kementerian Belia dan Sukan, serta agensi-agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menyampaikan maklumat, peluang dan khidmat secara langsung kepada rakyat.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan