LIMBANG, 25 Mei: Kementerian Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah akan mempromosikan dan mengkomersilkan durian tempatan iaitu durian kuning yang mendapat pasaran di China.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, durian kuning yang amat digemari di Limbang mendapat sambutan luar biasa dan pilihan utama pengunjung khusus dari negara jiran Brunei Darussalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, selain tanaman nanas, pisang, kelapa, tanaman durian antara tanaman yang sedang dibangunkan oleh kerajaan negeri termasuk di utara Sarawak.
“Kita hendak fokus untuk mempromosi produk kita di Limbang. Selain memfokus nanas, pisang, kelapa, saya hendak mempopularkan durian tempatan kita iaitu durian kuning yang sekarang ini juga mendapat sambutan baik di kalangan orang-orang China dan pasaran kita boleh jual melalui negeri Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Mantar Gawai Dayak Sempena Pesta Medamit 2025 malam tadi.
Katanya, pihaknya akan memfokus sektor-sektor pertanian untuk dikembangkan di Limbang termasuk di kawasan Medamit.
Selain memfokus kepada tanaman nanas, pisang, kelapa dan durian kementeriannya juga akan memulakan projek jelapang padinya di Limbang pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RM Ke-13) tahun depan melibatkan keluasan 1,500 hektar.
Antara kawasan dikenal pasti adalah Kampung Pandam Limbang melibatkan keluasan 1,000 hektar, manakala Kampung Sinampuan Sundar Lawas dipilih membabitkan keluasan 500 hektar.
Tambah beliau, projek penanaman padi di Limbang juga adalah selari dengan hasrat Sarawak bagi memastikan keterjaminan makanan.- TVS.