KUCHING, 25 Mei: Festival sukan ekstrem dan budaya belia pertama di Sarawak, CANROLL 2025 yang berlangsung selama tiga hari di Tebingan Kuching melabuhkan tirai dengan jayanya, sekali gus membuktikan Sarawak sebagai hab baharu sukan ekstrem di rantau ini.
Pengasas CANROLL, Nik Mohd Suhaily berkata, festival anjuran Canard Group itu bukan sekadar medan sukan dan hiburan, tetapi satu gerakan budaya yang memberi inspirasi dan memperkasakan generasi golongan belia dengan peluang dalam industri sukan dan kreatif.
“Tujuan utama festival ini adalah untuk menghimpunkan seluruh komuniti pencinta sukan ekstrem agar dapat berkumpul, berinteraksi dan menikmati festival ini bersama. Selain itu, ia juga sebagai satu platform sukan ekstrem yang meriah dan inklusif.
“Sama ada aktiviti, sukan BMX, sukan air seperti jet ski, flyboard dan semuanya ada. Ia bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga memberi impak besar dalam mempromosikan gaya hidup aktif,” katanya ketika ditemui pada Penutupan Festival CANROLL 2025 di Tebingan Kuching di sini, hari ini.
Nick Mohd yang juga Pengasas Canard Media berkata, festival yang julung kali diadakan di Kuching tersebut membuktikan minat mendalam terhadap sukan ekstrem dalam kalangan belia dan komuniti.
Justeru, katanya, sambutan luar biasa yang diterima daripada pengunjung tempatan dan antarabangsa menjadi pemangkin kepada pihaknya untuk terus menganjurkan festival ini pada masa akan datang.
“Kami merancang untuk menganjurkan CANROLL sekali lagi tahun hadapan, mungkin dengan konsep ‘mobile skate park’ di mana taman luncur akan dibina dalam kontena dan dibawa ke daerah-daerah lain di seluruh Sarawak dan mungkin juga ke Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
CANROLL 2025 yang bermula pada 23 hingga 25 Mei menyaksikan penglibatan peserta dari luar negara seperti Perancis, Hong Kong, Indonesia, Singapura dan Semenanjung Malaysia.
Acara yang melabuhkan tirainya hari ini telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman yang hadir mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Dengan sokongan agensi seperti Tourism Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta MySED, CANROLL 2025 dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri kreatif, pelancongan domestik dan keusahawanan belia di Sarawak.-TVS