Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto fail AFP

ASEAN perlu jadikan usaha basmi kemiskinan teras perjuangan agenda serantau – PM Anwar

ByBernama

PUTRAJAYA, 25 Mei: ASEAN perlu mengutamakan pembasmian kemiskinan dan perlindungan komuniti rentan sebagai tonggak utama agenda pembangunannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam temu bual dengan media ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Anwar berkata pertumbuhan ekonomi mesti membawa kepada peningkatan kebajikan rakyat yang ketara, perlindungan sosial dan maruah manusia untuk rakyat di rantau ini.

“Isu kemiskinan sangat dekat di hati saya. Di sini (di Malaysia) saya jelaskan bahawa bagi miskin tegar, kita mesti menyasarkan kemiskinan sifar. Walaupun ia kembali tahun depan, tetapi saya kata negara tidak mempunyai sebab untuk membenarkan perkara itu berlaku, jadi mereka perlu menyelesaikannya dan kita telah agak berjaya dalam hal itu.

“Jika tidak, semua cakap mengenai pembangunan ekonomi ini, ia tidak diterjemahkan kepada kehidupan dan kebajikan rakyat. Sudah tentu ada negara yang telah melaksanakannya dalam had dan ruang kemampuan mereka, tetapi apa yang penting ialah komitmen yang teguh,” katanya.

Anwar berkata kenyataan ASEAN sering merujuk kepada kemiskinan, ketidaksamaan dan jurang pembangunan, baik dalam negara anggota mahupun di seluruh rantau ini, justeru beliau menggesa blok itu untuk menjadikan pengisytiharan ini sebagai satu tindakan.

Beliau mengesahkan bahawa Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2025 menggariskan pembasmian kemiskinan dan pertumbuhan inklusif sebagai matlamat teras, dan menyeru para pemimpin ASEAN untuk mengekalkan momentum dalam bidang ini.

Perdana menteri juga menekankan keperluan untuk menangani ketidaksamaan sistematik dan mencegah kelemahan seperti penipuan dan pemerdagangan manusia, yang memberi kesan tidak seimbang kepada golongan miskin di rantau ini.

“Keselamatan siber dan penipuan adalah isu utama yang harus ditangani. Kini kami mempunyai kerjasama yang berkesan dari Laos, Kemboja, dalam menangani isu ini, baik di peringkat dua hala dan melalui mekanisme ASEAN,” katanya.

Menjengah ASEAN 2040 dan seterusnya, Anwar berkata kejayaan rantau ini bergantung kepada tadbir urus yang baik, integrasi yang lebih mendalam dan tindakan kolektif.

Beliau berkata kepusatan dan kedudukan tidak sejajar ASEAN membolehkannya berdagang dan bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi termasuk dengan negara BRICS, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

“Jika kita hanya memikirkan kepentingan negara, memang ada hadnya, tetapi sebagai ASEAN dengan penduduk berjumlah lebih 640 juta, ekonomi USD3 trilion – potensinya sangat besar.

“Akhirnya yang menjadi hakim adalah kebajikan rakyat kita, pendidikan berkualiti, kesihatan awam, infrastruktur, mengangkat golongan miskin. Ini adalah isu maruah manusia dan itulah ujian sebenar kejayaan kita,” katanya.

Anwar juga menyuarakan keyakinan terhadap Sidang Kemuncak ini, dengan menyatakan bahawa konsensus telah dibina mengenai isu-isu utama termasuk grid kuasa ASEAN, ketersambungan digital dan perdagangan antara wilayah.

Anwar memuji semangat kerjasama dalam kalangan pemimpin ASEAN dan memuji profesionalisme yang ditunjukkan dalam persiapan sidang kemuncak itu.

“Saya sangat gembira dengan tahap penglibatan, malah isu birokrasi atau protokol dikendalikan dengan mudah. ​​Kemasukan GCC dan China dalam mesyuarat ini menambahkan lagi keberkesanan,” katanya.

Dalam mengakui cabaran logistik penganjuran Sidang Kemuncak ini seperti penutupan jalan raya, Anwar berkata langkah sedemikian adalah perlu untuk memastikan keselamatan dan menghormati kehadiran tetamu penting.

Malaysia adalah pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.

Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, selepas 1977, 1997, 2005 and 2015. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan