MIRI, 25 Mei: Orang ramai diseru untuk mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan diri dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang agar terhindar daripada penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, usaha menjaga kesihatan tidak seharusnya dipandang ringan, terutama apabila gaya hidup moden menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan dalam kalangan rakyat.
“Yang penting bukan soal umur, tetapi tahap kesihatan. Jika kita sihat, usia muda atau tua tidak banyak beza. Namun, jika masih muda tetapi sudah menghadapi masalah kesihatan, kualiti hidup kita akan terjejas seperti warga emas.
“Kalau doktor beri ubat tetapi kita sendiri tidak ikut arahan atau ubah cara hidup, usaha itu menjadi sia-sia. Kita sendiri perlu rela menjaga kesihatan, jangan tunggu sakit baru mahu berjumpa doktor,” katanya semasa menghadiri program Kurangkan Gula Kaw-Kaw dan Perubahan Tingkah Laku 2025 di Kampung Tudan Fasa 4 dan 5 anjuran bersama Jabatan Kesihatan Bahagian Miri di sini, hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Bahagian Miri yang terus komited turun padang memberi pendidikan kesihatan secara langsung kepada komuniti setempat.
“Saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan perubatan serta jururawat yang sanggup turun ke kampung, bukannya hanya menunggu pesakit datang ke klinik. Inilah pendekatan pencegahan yang patut diperkasa,” tambahnya.
Menurutnya , antara penyakit yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat termasuk kencing manis, darah tinggi, sakit buah pinggang, sakit jantung serta obesiti yang kini melibatkan lebih 30 peratus rakyat.
Program kesihatan ini turut melibatkan pelbagai aktiviti pemeriksaan kesihatan, demonstrasi pemakanan sihat serta interaksi langsung dengan pegawai perubatan.
Dengan penglibatan aktif komuniti dan sokongan agensi kerajaan, program seperti ini menjadi bukti pendekatan kesihatan berasaskan komuniti mampu memberi impak positif ke arah kehidupan yang lebih sihat dan lestari. – TVS