SERIAN, 25 Mei: Anugerah Carta Lagu Bidayuh (ACLB) bukan hanya sekadar satu pertandingan hiburan semata-mata, namun mampu mengangkat seni bahasa, nilai dan irama etnik Bidayuh yang kini mendapat tempat di kalangan masyarakat pelbagai kaum terutama di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, ACLB dilihat sebagai platform terbaik dalam mengiktiraf dan memberikan dorongan kepada seniman Bidayuh dalam memperjuangkan hasil karya mereka, sekali gus memperkenalkan keunikan bahasa dan muzik etnik kaum itu ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Saya yakin program seperti ini mampu menyuntik semangat para artis, komposer, penulis lirik, pengubah lagu serta mereka yang terlibat untuk terus berkarya dan menghasilkan seni yang lebih segar, kreatif dan berkualiti.
“Selain itu, penganjuran anugerah ini juga pastinya akan menggalakkan transformasi dalam industri muzik Kaum Bidayuh,” katanya ketika berucap pada pertandingan akhir ACLB edisi ke-10 yang berlangsung di Dataran Mutiara, Tebedu Serian malam tadi.
Beliau berkata, perkembangan teknologi juga telah membantu dalam mempromosikan industri muzik Bidayuh dengan memberikan contoh di mana ACLB disiarkan secara langsung menerusi beberapa platform digital, antaranya radio dalam talian dan akaun facebook rasmi Wai FM Bidayuh, serta menerusi RTMKlik.
Edisi malam tadi menyaksikan 10 finalis berentap bagi merebut gelaran gelaran juara bagi beberapa kategori yang dipertandingkan, antaranya Vokal Terbaik, Lagu Paling Popular dan Juara Carta ACLB ke-10.
Sementara itu, Kusong ciptaan dan nyanyian Jasmine John bersama Micheal Gayut muncul juara bagi kategori Anugerah Carta Lagu Bidayuh (ACLB) edisi ke-10.
Jelas Jasmine, lagu itu menggambarkan perasaan sedih dalam diri seseorang yang ditinggalkan atau kehilangan orang tersayang akibat kematian di mana beliau mengakui mendapat ilham dalam menghasilkan lagu itu berdasarkan peristiwa sebenar yang telah berlaku.
“Ini adalah pengalaman yang sebenar daripada keluarga saya dan Micheal juga kehilangan ahli keluarga juga. Jadi kami berbincang mengenai perkara ini dan tercetuslah idea itu,” katanya lagi.
Tambah Jasmine lagi, dirinya dan Micheal mengambil kelas vokal sebanyak empat kali dalam usaha mempersiapkan diri memasuki pertandingan akhir ACLB tahun ini.
Selaku juara Jasmine dan Micheal membawa pulang wang tunai bernilai RM 5,000 dan piala iringan.
Kategori vokal terbaik pula disandang oleh Kumpulan Wooden Gun yang membawa lagu Megau Jawa Siru manakala Lagu Paling Popular dinobatkan kepada kumpulan D’Jegan yang membawa lagu Ditik Dinok Ranchak. -TVS