SANDAKAN, 24 Mei: Seekor ular sawa sepanjang 2.5 meter berjaya ditangkap pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sandakan selepas memakan seekor anak kucing peliharaan di Jalan Cecily, pagi tadi.
Pengadu menyedari kejadian itu ketika meninjau kandang kucing di belakang rumah dan melihat ular tersebut sedang menelan salah satu daripada lima anak kucing peliharaannya.
“Ibu kucing tiada ketika kejadian. Saya terus hubungi MERS 999 sebab bimbang keselamatan,” katanya.
Pusat Kawalan Operasi Negeri Sabah (PKON) mengaktifkan operasi pada jam 10.12 pagi dan lima anggota APM termasuk seorang pegawai dihantar ke lokasi menggunakan kenderaan operasi CS018.
Setibanya di lokasi pada jam 10.32 pagi, pasukan APM memindahkan empat anak kucing lain ke tempat selamat sebelum menunggu ular itu memuntahkan anak kucing yang telah ditelan.
“Selepas ular muntah semula anak kucing, kami segera menjerut kepalanya dan tarik keluar dari kandang,” kata jurucakap APM.
Ular itu yang lemah selepas memuntahkan mangsanya berjaya dimasukkan ke dalam guni dan dilepaskan semula ke habitat asal. Tiada kecederaan dilaporkan sepanjang operasi yang tamat pada jam 11.31 pagi. – TVS