Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penerima Anugerah Pingat Emas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Tahun 2024 Nurul Aini Maisyarah Abdul Razib (dua, kiri) bergambar bersama pemenang anugerah khas pada Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-13 Tahun 2025 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini. Foto Bernama

Tangan dipijak lembu, pengalaman tidak dilupakan penerima Anugerah Khas Pingat Emas Menteri

ByBernama

PUTRAJAYA, 24 Mei-Kecekalan Nurul Aini Maisyarah Abdul Razib dalam menuntut ilmu, termasuk pengalaman mencabar apabila tangannya dipijak lembu ketika memerah susu sewaktu menjalani latihan industri nyata berbaloi, apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Pingat Emas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Graduan Institut Veterinar Malaysia (IVM) berusia 24 tahun itu, turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar pada Majlis Konvokesyen Pertanian ke-13 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), di sini baru-baru ini.

Ditemui selepas majlis itu, Nurul Aini Maisyarah berkata beliau bersyukur dapat menamatkan pengajian Sijil Veterinar Malaysia di IVM, meskipun ragu-ragu terhadap kemampuan diri untuk menguasai program itu.

“Saya belajar menggunakan mesin rumput, saya belajar untuk mengawal lembu-lembu yang besar dan sebagainya.

“Itu satu cabaran yang saya perlu hadapi sendiri. Jadi, dengan ilmu yang IVM ajarkan, saya dapat mengatasi cabaran yang ada termasuk dari segi mental,” katanya.

Anak kelahiran Pahang itu berkata pembelajaran dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah institusi KPKM, nyata memberikan input serta ilmu baharu dalam bidang pertanian.

Beliau kini meneruskan penternakan ladang lembu milik keluarganya di Kuala Rompin, Pahang mengakui, yang ilmu dipelajari di IVM membantu melancarkan lagi operasi ladang.

“Saya juga disaran untuk mohon Program Agropreneur Muda untuk saya kembangkan lagi perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad A’inul Yaqin Mohd Shukry yang dinobatkan pemenang Anugerah Khas Agro Bank serta Pengarah Pembangunan Bahagian Kapasiti dan Latihan Pertanian, menyarankan belia mengikuti kursus TVET Pertanian di semua institusi dibawah KPKM.

“Ilmu yang saya belajar di institut itu saya aplikasi di dalam perniagaan, saya kini sedang usahakan projek ayam kampung kacuk kerana permintaan sangat tinggi waktu perayaan.

“Saya dapat aplikasikan ilmu iaitu cara usahakan reban secara tertutup dan lebih sistematik, ada tempat ayam bertelur dan sebagainya,” kata graduan Institut Teknologi Unggas, Melaka.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan sebagai berkata kebolehpasaran graduan TVET Pertanian di institut serta pusat latihan di bawah KPKM mencatatkan peningkatan kepada 78.1 peratus pada 2023 berbanding 72.3 peratus pada 2022.

Konvokesyen Pertanian ke-13 KPKM pada Khamis lepas menyaksikan seramai 448 graduan menerima sijil dan diploma antaranya Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Pertanian, Sijil Veterinar Malaysia dan Sijil Perikanan.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan