SARIBAS, 24 Mei: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia Saratok dan Zon Kabong masing-masing dinobatkan sebagai johan keseluruhan kategori sekolah menengah dan sekolah rendah dalam Mahrajan Pendidikan Islam Sekolah-Sekolah (MPISS) Peringkat Bahagian Betong 2025.
Program anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah Betong dan SMK Saribas itu berlangsung meriah di Dewan Akademia, SMK Saribas dengan penyertaan 12 kontinjen sekolah menengah dan tujuh zon sekolah rendah.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, penganjuran MPISS menjadi platform terbaik dalam memperkukuh ukhuwah dan semangat perpaduan dalam kalangan pelajar.
“Pertandingan ini bukan sahaja memberi ruang kepada pelajar menyerlahkan bakat dan kepintaran dalam bidang agama malah memupuk semangat menghargai kepelbagaian serta menggalakkan perkongsian ilmu,” katanya semasa menyempurnakan majlis penutupan MPISS tersebut.
Menurutnya, Pendidikan Islam memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan jati diri generasi muda.
“Ia bukan sahaja memberi pengetahuan tentang ajaran agama malah turut mendidik nilai-nilai murni seperti kejujuran, kasih sayang, disiplin dan tanggungjawab,” ujarnya.
Beliau berkata, setiap aktiviti dalam mahrajan berfungsi sebagai medium untuk mencungkil bakat pelajar dan membina keyakinan serta jati diri mereka.
“Ia juga seiring dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan rakyat yang berilmu, berketerampilan, bertanggungjawab dan mampu menyumbang kepada keharmonian serta kemakmuran negara,” jelasnya.
Beliau turut menekankan pelaksanaan program tersebut selaras dengan Falsafah Pendidikan Islam yang menekankan penghayatan Islam sebagai cara hidup demi kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Antara acara utama yang dipertandingkan termasuk tilawah al-Quran, hafazan al-Quran, nasyid, khat, kalam Arabiy, mimbar daie, daie cilik dan kalam jamaie.
Tujuh zon sekolah rendah yang bertanding ialah Zon Betong, Pusa, Spaoh, Debak, Saratok, Roban dan Kabong. -TVS