KUCHING, 24 Mei – Program Showcase Usahawan Tani (ShoUT) kembali lagi selepas melabuhkan tirainya di Miri pada 2022 dengan menghidangkan produk-produk usahawan tani dari seluruh negeri di bawah bimbingan Jabatan Pertanian Sarawak.
Penganjuran ShoUT 2025 oleh Bahagian Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian Sarawak bertujuan membuka peluang pemasaran secara langsung kepada usahawan tempatan dengan memberi ruang interaksi bersama pengguna.
Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat, berkata program fizikal seperti ini mampu membantu meningkatkan hasil jualan para usahawan menerusi promosi dan jualan secara terus kepada masyarakat.
“Jabatan Pertanian Sarawak akan terus komited membantu usahawan kita di Sarawak, khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam pengeluaran serta penghasilan produk tempatan.
Kesemua mereka ini memerlukan sokongan dari segi promosi, memandangkan asas kepada produk yang dihasilkan adalah berasaskan hasil segar pertanian sebagai contoh, ada yang menghasilkan periuk garing, Sacha Inchi, gula apong dan sebagainya.
“Sebab itulah, saya lihat program kali ini sangat tepat pada masanya untuk kita terus mengangkat industri pertanian di Negeri Sarawak dan inilah salah satu cara kita memperkasakan lagi sektor pertanian di negeri ini,” katanya ketika ditemui media sempena program Walkabout ShoUT 2025 di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.
Tambah beliau, Jabatan Pertanian Sarawak akan terus menyalurkan khidmat sokongan kepada petani dan penternak yang menjadi tulang belakang industri pertanian dan makanan negeri.
Beliau turut menyeru kerjasama semua pihak dalam meningkatkan hasil tanaman dan ternakan yang boleh dijadikan asas kepada perniagaan berasaskan pertanian.
Sebanyak 20 gerai jualan dan pameran dibuka melibatkan 17 usahawan bimbingan jabatan, dua agensi kerajaan, serta sebuah syarikat swasta.
Antara perkhidmatan disediakan termasuk khidmat nasihat dan pameran oleh Jabatan Pertanian Sarawak, Kementerian Kesihatan Malaysia, dan Jabatan Agama Islam Sarawak.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk demonstrasi masakan, pertandingan dan kuiz kepada pengunjung. – TVS