SARIBAS, 24 Mei: Satu sesi libat urus dengan pihak Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan diadakan di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas pada 10 Jun depan bagi memperhalusi isu-isu berbangkit berkenaan pelaksanaan Projek Bina Baharu Pejabat Daerah Debak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, pelaksanaan projek tersebut telah tertangguh beberapa kali sebelum ini.
“Kalau tidak silap saya, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak (SAO) tadi ada maklumkan kepada saya bahawa akan ada satu sesi libat urus bersama pihak JKR dari Ibu Pejabat berkenaan Projek Bina Baharu Pejabat Daerah Debak pada 10 Jun depan berhubung perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Mantar Gawai Dayak 2025 Kawasan DUN Saribas di Dewan Millennia Debak pada Jumaat.
Tambahnya, dengan adanya sesi tersebut akan menambah keyakinan pihaknya bahawa projek berkenaan akan dapat berjalan lancar tanpa sebarang permasalahan selepas ini.
“Dengan adanya sesi ini nanti, saya amat yakin bahawa projek ini akan berjalan dengan lancar kerana tapaknya telah pun tersedia pada ketika ini,” ujarnya. -TVS.