Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim . Foto Anwar Ibrahim (Facebook)

PM pertahan keputusan sambung kontrak Azam Baki

ByBernama

JOHOR BAHRU, 24 Mei: Keputusan kerajaan menyambung kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dibuat berdasarkan keyakinan terhadap keberanian beliau memerangi rasuah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun langkah itu menerima kritikan pelbagai pihak termasuk pembangkang, beliau tetap berpegang kepada pendirian bahawa Azam telah menunjukkan ketegasan dalam membanteras rasuah secara besar-besaran.

“Saya percaya melihat kepada perkembangan SPRM puluhan tahun, inilah kali pertama SPRM berani menggeledah semua tauke besar.

“Ya, ini kenyataan. Saya boleh ganti dan bincang dengan kawan (Kabinet), boleh ganti esok tapi saya tidak yakin yang baharu itu berani menyinggung tauke besar yang punyai bilion ringgit kekayaannya,” kata beliau.

Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata demikian dalam ucapan dasar presiden dan perasmian Kongres Nasional parti itu di Persada Johor di sini malam ini.

Beliau berkata SPRM kini mengambil tindakan tegas terhadap individu berprofil tinggi termasuk yang bergelar Datuk Seri, Tan Sri dan Tun.

Justeru itu, Perdana Menteri meminta semua pihak memberikan ruang bagi memastikan tindakan tegas sedemikian dapat diteruskan tanpa gangguan.

Pada masa sama, Anwar melahirkan rasa kecewa kerana tindakan SPRM membanteras rasuah sering disalah tafsir sebagai motif dendam terhadap pihak tertentu.

“Bagi ruang (kepada Azam), sementara itu kita cari ganti yang kita yakin berani dan peralihan akan berlaku dalam kepimpinan SPRM,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pelantikan semula Azam adalah bagi tempoh setahun berkuat kuasa pada 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan semula itu.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan