SIBU, 24 Mei: Sarawak memerlukan sistem pendidikan yang bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi membentuk pemikiran kritikal, nilai murni dan semangat inovatif.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, pendidikan perlu disesuaikan bagi melahirkan generasi masa depan yang berani menghadapi cabaran dunia sebenar.
“Bayangkan satu sistem pendidikan yang bukan hanya menekankan hafalan fakta dan peperiksaan tetapi yang menginspirasikan perubahan, mentransformasi masyarakat dan melahirkan generasi pemikir kritikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan New Era Fun 3.0 Stream Expo (S4) di Institut Methodist Pilley (MPI) di sini, malam tadi.
Selain itu menurutnya, pendekatan Sains, Teknologi, Membaca, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM) dilihat sebagai kerangka terbaik memupuk minat, imaginasi dan semangat belajar sepanjang hayat.
“Seperti kata Einstein, pendidikan bukanlah tentang pembelajaran fakta tetapi melatih minda untuk berfikir. Itulah fokus sebenar iaitu membentuk minda, hati dan jiwa pelajar kita,” ujarnya.
Sementara itu, Pengetua MPI Dr Lu Huong Ying berkata, pendidikan moden perlu merangkumi nilai hidup dan kebijaksanaan bukan sekadar penyampaian maklumat.
“Walaupun masyarakat hari ini kaya dengan maklumat, ramai kekurangan kebijaksanaan dan tujuan hidup, itulah yang perlu diketengahkan dalam pendidikan moden,” jelasnya.-TVS