JOHOR BAHRU, 24 Mei: Pasukan bina badan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak mencipta nama di peringkat kebangsaan selepas muncul sebagai juara keseluruhan Kejohanan Bina Badan Piala Ketua Polis Negara 2025.
Kemenangan disumbang Koperal Al Badrul Abu dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dengan memperoleh perak bagi kategori Men Sport Physique Atas 170 cm manakala Joseph Ladi dari Balai Polis Beratok memenangi kategori bawah 65 kg manakala perak dimenangi Koperal Hilarry Ladi dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kota Samarahan.
Kejohanan tersebut diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru pada 23 hingga 24 Mei.
Turut menyumbang kemenangan, Lans Koperal Mohd Al Iqbal dari IPD Sri Aman dengan memperoleh gangsa bagi kategori Men Sport Physique Atas 170 cm dan tempat keempat kategori 75-85 kg.
Konstabel Mohd Aiman Fitri dari Batalion 10 PGA Sarawak memperoleh tempat kelima kategori Men Sport Physique Atas 170 cm.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak turut hadir menyaksikan kejohanan dan memberikan sokongan.
“Kejayaan kontingen Sarawak muncul sebagai juara keseluruhan dalam kejohanan ini adalah hasil daripada kerja keras, disiplin dan semangat tidak mengenal penat lelah yang ditunjukkan semua yang terlibat.
“Ini merupakan kejayaan buat kali kedua dan saya amat berbangga dengan pencapaian luar biasa ini. Harapan saya untuk masa hadapan ialah kejayaan pasukan bina badan ini akan terus menjadi sumber inspirasi dan contoh teladan kepada anggota lain bukan sahaja dalam sukan bina badan tetapi juga dalam sukan yang lain,” katanya kepada TVS.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Bina Badan PDRM Sarawak, ASP Ahmad Naim Ayup @ Ratunus berkata, beliau sangat berpuas hati dan berbangga dengan prestasi atlet bina badan PDRM Sarawak.
“Saya yakin pasukan bina badan PDRM Sarawak mampu memberi kejayaan dalam mana-mana kejohanan pada masa hadapan dengan berbekalkan semangat kerjasama yang mantap seperti dalam kejohanan ini,” ujarnya.
Sebanyak lapan kategori dipertandingkan dan disertai pasukan PDRM dari seluruh Malaysia. – TVS