KUCHING, 24 Mei: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak melaksanakan Ops Pengarah yang berlangsung serentak di dua lokasi utama iaitu di Jalan Batu 5, Serian-Kuching dan Jalan Batu 5, Kuching-Serian pada Jumaat.
Operasi ini diketuai Timbalan Pengarahnya, Nor Azlan Ibrahim, bersama kekuatan seramai 50 pegawai dan anggota yang terlibat secara langsung dalam penguatkuasaan.
JPJ Sarawak dalam kenyataannya bekata, tujuan utama operasi ini adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemandu, penunggang serta pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), kaedah-kaedah dibawahnya, serta Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334).
“Sepanjang operasi berlangsung, sebanyak 869 buah kenderaan telah diperiksa. Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 209 notis ketidakakuran telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang dikesan.
“Antara kesalahan utama termasuklah tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, serta pelbagai kesalahan teknikal lain. Manakala sebanyak 7 buah motosikal turut disita atas pelbagai kesalahan yang dikesan,” kata kenyataan itu.
JPJ Sarawak menegaskan bahawa operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang serta menjamin keselamatan semua pihak di jalan raya.-TVS