LANGKAWI, 25 Mei: Sebanyak 1,400 pertemuan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) berjaya direkodkan sepanjang lima hari penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pencapaian tersebut membuktikan penganjuran LIMA bukan sahaja menjadi medan pameran aset ketenteraan, malah berperanan penting sebagai pemangkin perdagangan dan kerjasama strategik global.
“Pertemuan B2B ini, bersama 900 lagi sesi pertemuan perniagaan-ke-kerajaan (B2G), menunjukkan LIMA terus menjadi platform kukuh untuk pertukaran teknologi, perkongsian kepakaran dan pembentukan jaringan strategik antara syarikat pertahanan tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika ketika berucap pada Majlis Penutupan LIMA’25 di Atmosphere Dome, Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini, hari ini.
LIMA’25 edisi ke-17 tahun ini menyaksikan penyertaan 860 syarikat pempamer dari dalam dan luar negara dengan kehadiran pengunjung melebihi 450,000 orang, termasuk delegasi kerajaan, pemain industri pertahanan, wakil diplomatik dan pelabur antarabangsa.
Khaled turut menekankan bahawa LIMA kini membawa nilai yang lebih besar daripada sekadar pameran ketenteraan.
“LIMA menjadi satu lambang kebanggaan negara. Ia mempamerkan kekuatan dan kemajuan Malaysia dalam bidang pertahanan dan aeroangkasa.
“Dalam masa yang sama, ia juga berperanan sebagai medan diplomasi pertahanan melalui kerjasama dua hala dan pelbagai hala bersama negara-negara sahabat,” ujarnya.
Menerusi kejayaan LIMA’25, beliau turut mengumumkan bahawa pameran itu akan terus diperkasakan sebagai acara dwitahunan negara dengan edisi seterusnya dijadualkan pada 2027.
“Saya amat teruja menerima maklum balas positif daripada ramai delegasi asing yang menyatakan bahawa LIMA edisi kali ini adalah antara yang paling tersusun, paling bersedia dan paling berimpak. Insya-Allah, kita akan bertemu semula dalam LIMA 2027 yang bakal lebih hebat dan signifikan,” tambahnya.
LIMA yang mula dianjurkan sejak 1991 kini menjadi antara pameran industri pertahanan dan aeroangkasa paling berprestij di rantau Asia, merangkumi demonstrasi udara, pameran statik, pertunjukan maritim, serta sesi interaksi berimpak tinggi antara kerajaan dan industri. – TVS