WASHINGTON, 24 Mei: Universiti Harvard pada Jumaat memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump berhubung keputusannya untuk melarang kemasukan pelajar antarabangsa, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Selama lebih 70 tahun, Universiti Harvard (‘Harvard’ atau ‘Universiti’) telah diperakui oleh kerajaan persekutuan untuk mendaftarkan pelajar antarabangsa di bawah program visa F-1 dan ia lama ditetapkan sebagai penaja program pertukaran bagi menempatkan pemegang visa J-1 bukan imigran … Semalam, kerajaan secara tiba-tiba membatalkan pensijilan itu tanpa proses atau sebab yang sah, yang memberi kesan serta-merta dan buruk kepada Harvard serta lebih 7,000 pemegang visa.
“Pembatalan ini adalah pelanggaran terang-terangan terhadap Pindaan Pertama Perlembagaan, Klausa Proses Sewajarnya, dan Akta Prosedur Pentadbiran (APA),” menurut aduan itu.
Plaintif menegaskan yang pelajar asing merangkumi satu perempat daripada jumlah keseluruhan pelajar universiti yang memberi sumbangan besar kepada misi institusi itu.
“Harvard dengan hormat memohon perkara berikut: Mengisytiharkan yang tindakan pihak defendan membatalkan pensijilan SEVP Harvard melalui Notis Pembatalan adalah tidak berperlembagaan dan/atau tidak sah kerana ia melanggar Pindaan Pertama, Klausa Proses Sewajarnya dan APA [Akta Prosedur Pentadbiran],” menurut dokumen itu. -TVS