KUCHING, 23 Mei: Seramai 14 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang sedang menjalani latihan industri di Suara Sarawak dan Sarawak Tribune berpeluang menyaksikan sendiri operasi di sebalik tabir stesen penyiaran TVS, hari ini.
Dalam lawatan lebih dua jam itu mereka berinteraksi dengan Pengarah Bertanggungjawab TVS, Dato Dr Jeniri Amir selain mendengar perkongsian daripada wartawan-wartawan stesen berkenaan.
Turut mengiringi kumpulan pelatih tersebut ialah pensyarah UNIMAS, Dr Noratikah Mohamad Ashari, Dr Dayang Aizza Maisha Abang Ahmad dan Pengarang Eksekutif Suara Sarawak, Rohana Wahed.
Salah seorang pelajar, Aisyah Ardila Abdul Rahman menyifatkan lawatan itu sebagai pengalaman berharga yang membuka matanya terhadap realiti dunia penyiaran.
“Saya berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana berita televisyen dihasilkan, berbanding sebelum ini hanya menontonnya di kaca TV.
“Kami sangat bertuah kerana dapat menjejakkan kaki ke TVS dan melihat sendiri bagaimana kakitangannya menjalankan tugas,” katanya.
Seorang lagi pelatih, Jasmine Zahra Abu Hasan Aidil Fitri berkata beliau teruja dapat menyaksikan secara langsung suasana di studio rakaman.
“Saya rasa beruntung kerana bukan semua orang berpeluang melihat bagaimana sesebuah stesen televisyen berfungsi dari dalam,” ujarnya.
Bagi Aniq Azfar Abdul Aziz, pendedahan itu memberi gambaran lebih jelas tentang proses penyampaian berita dan kepentingan kerja berpasukan dalam industri media.
“Menerusi lawatan ini, saya dapat lihat sendiri bagaimana studio TVS dikendalikan, penggunaan peralatan, penulisan skrip yang tepat dan proses penerbitan sesebuah berita,” jelasnya. – TVS