MIRI, 23 Mei: Festival What About Kuching (WAK) Miri kembali buat edisi keduanya tahun ini yang membawa lebih banyak warna, kreativiti dan semangat komuniti ke tengah-tengah bandar raya Miri dengan pelbagai persembahan seni, pameran kraf, bengkel kreatif dan aktiviti interaktif.
Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad, menyifatkan penganjuran semula WAK Miri sebagai bukti kesungguhan dan ketabahan pasukan penganjur dalam menjayakan inisiatif kreatif ini.
“Festival WAK Miri bukan sekadar acara hiburan, ia merapatkan hubungan komuniti dan menyemai rasa bangga terhadap warisan serta identiti kita sebagai warga Miri,” katanya ketika merasmikan pelancaran kalendar festival WAK Miri 2025 di Majlis Bandaraya Miri, hari ini.
Menurut beliau, penganjuran kali ini menyaksikan penglibatan lebih ramai artis tempatan dan luar termasuk dari Kuching serta negeri-negeri lain yang mencerminkan keterangkuman serta hasrat menjadikan Miri sebagai hab kreatif berdaya saing.
“Festival yang berpusat di Pusat Kraftangan Miri akan dilihat sebagai platform penting untuk mempertemukan tradisi dengan inovasi mempersembahkan seni jalanan, teater, muzik, serta hasil kraftangan tempatan dalam suasana yang inklusif dan meriah,” katanya lagi.
WAK Miri 2025 dijangka berlangsung sepanjang Julai ini dengan pelbagai program menarik yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
Antara artis jemputan adalah pelakon teater Pearlly Chuah, pereka fesyen Edric Ong dan Melinda Omar, kumpulan muzik Time Signature dan DJ tempatan seperti DJ Dora, DJ Mago, DJ Raafiikii dan DJ 40%. – TVS