SARIKEI, 23 Mei: Penduduk Kampung Muara Payang bertindak pantas memadam kebakaran hutan yang berlaku berhampiran penempatan mereka malam tadi dengan menggunakan dua unit enjin pam air.
Kejadian sekitar jam 6.50 petang itu memusnahkan lebih 10 hektar kawasan hutan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Arrahman Chik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.00 malam sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kita mendapati kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung menggunakan dua unit enjin pam air.
“Tindakan mereka berjaya menghalang api daripada merebak ke kawasan penempatan yang terletak kira-kira 300 meter dari lokasi kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemantauan susulan dilakukan bagi memastikan tiada lagi sisa kebakaran dan keadaan benar-benar selamat.
“Tindakan pantas penduduk bukan sahaja menyelamatkan nyawa dan harta benda, malah berjaya mengelak berlakunya kebakaran yang lebih besar,” tambahnya.
Operasi turut disertai lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu kawalan keselamatan di lokasi kejadian. – TVS