KUCHING, 23 Mei: Penggunaan teknologi moden dalam pembinaan jalan di kawasan pesisir yang bertanah paya gambut mampu mengurangkan keperluan penyelenggaraan jangka panjang.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo berkata, ia termasuklah pembinaan jalan bertingkat menggunakan cerucuk yang terbukti berkesan menangani masalah mendapan tidak sekata.
‘’Kita melihat potensi besar penggunaan teknologi seperti saliran menegak pratuang (PVD) dan kaedah pencampuran tanah dalam (DSM) yang bukan sahaja menambah kestabilan tanah tetapi turut mempercepatkan proses pemampatan.
‘’Hasilnya, risiko kerosakan struktur akibat pemendapan dapat dikurangkan secara ketara,” katanya pada Persidangan DUN ke-19 hari ini.
Menurutnya, kaedah saliran menegak pratuang melibatkan pemasangan saliran menegak ke dalam tanah gambut dan diikuti dengan penimbunan tanah sebagai pemberat.
“Kombinasi ini mempercepat pemendapan tanah secara terkawal sebelum kerja-kerja pembinaan sebenar dijalankan,” ujarnya.-TVS